Akhir-akhir ini kita sekali lagi dilanda sindrom kurang bekalan barang keperluan. Jika pada bulan Oktober 2006 krisis bekalan gula telah membuatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak senang duduk, krisis bekalan minyak masak pula ibarat pisang berbuah dua kali. Pada bulan Mei 2007 yang lalu, krisis bekalan minyak masak telah berlaku dan perkara yang sama telah dilihat berulang sekali lagi pada bulan ini di mana kekurangan bekalan barang keperluan tersebut telah meruncing hingga KPDNHEP mengisytiharkan catuan pembelian maksimum 5kg [UM 08/01/08]. Dilaporkan juga, bagi mengatasi masalah ini, pihak kerajaan akan menubuhkan Majlis Harga yang ‘.. akan berfungsi dengan membincangkan mengenai penentuan harga barangan, termasuk tindakan untuk mempertingkatkan bekalan’ [UM11/01/2008].
Dalam kes yang mutakhir ini, sekali lagi berbagai pihak dipersalahkan. Ada peniaga yang dipersalahkan kerana membuat catuan sendiri, kurang dari catuan yang ditetapkan oleh kementerian; pengguna pula dipersalahkan kerana tidak rasional dan membeli secara panik; pihak industri pula dipersalahkan kerana membeli kuota pengguna isi rumah apabila subsidi bekalan mereka telah dipotong dan tidak lupa juga musuh tradisi, para penyeludup, yang menjadi pihak nombor satu dipersalahkan kerana kegiatan mereka membawa barang-barang tersebut ke negara jiran seperti Thailand untuk dijual dengan harga yang lebih tinggi. Pendek kata, hampir semua pihak terpalit dengan kesalahan masing-masing yang menyumbang kepada berlakunya krisis pada kali ini.
Dalam cubaan untuk menangani krisis seperti ini, pelbagai pihak tampil dengan seribu satu cadangan bagaimana krisis yang ada dapat diatasi dan kemudiannya dicegah daripada berulang kembali. Maka tampillah cerdik pandai ekonomi kapitalis memberi cadangan agar ditingkatkan pengeluaran dan dilakukan penetapan harga syiling tertentu agar bekalan dapat dikawal. Pemikir undang-undang pula hadir dengan cadangan hukuman yang lebih berat untuk membendung penularan aktiviti-aktiviti penyeludupan dan penyorokkan barang dagangan. Tokoh-tokoh spiritual pula tampil mengajak rakyat berjimat-cermat, tidak membazir serta bersyukur dengan apa yang ada, dan tidak lupa juga pakar-pakar perubatan yang turut datang menyarankan agar dikurangkan pengambilan gula dan minyak untuk menjamin kehidupan yang lebih sihat. Berbagai cadangan, berbagai saranan, berbagai tindakan, namum apabila tahun baru menjelma, krisis lama berulang kembali. Apa silapnya, mana kurangnya? Itulah persoalan yang akan kembali ditanya dan menuntut jawapan yang tulus.
Jika diteliti beberapa sebab yang diwar-warkan oleh sistem penyampaian maklumat negara (media cetak, elektronik, internet dan sebagainya), maka kita boleh dapati beberapa punca utama sering diperkatakan. Punca yang paling popular dibincangkan oleh penganalisis-penganalisis ekonomi adalah kesan daripada kegiatan penyorokkan dan penyeludupan yang berleluasa hingga menyebabkan bekalan yang asalnya mencukupi untuk pasaran tempatan telah dihabiskan kerana meleleh keluar untuk dijual di pasaran negara-negara jiran yang menawarkan harga yang lebih tinggi. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa kekurangan bekalan minyak masak baru-baru ini juga berpunca daripada kegiatan penyorokkan bekalan tersebut oleh pihak-pihak tertentu untuk memaksa harga pasaran tempatan dinaikkan selari dengan kenaikan harga pasaran minyak sawit di pasaran dunia. Namun jika diamati dengan lebih mendalam akan punca-punca yang dikaitkan di atas, ianya bukanlah punca sebenar mengapa bekalan minyak (atau sebelum ini gula) tersebut berkurangan di dalam negara tetapi hanya sekadar kesan langsung daripada permasalahan harga dan pengagihan bekalan yang diamalkan di negara ini.
Untuk menyalahkan penyeludup dan penyorok bekalan semata-mata adalah satu tindakan yang terburu-buru. Lumrah manusia berniaga adalah untuk mendapatkan keuntungan. Sekiranya kita berniaga ikan masin di sebuah Kampung A contohnya, dan sekiranya penduduk di kampung yang lain, Kampung B, menawarkan untuk membeli ikan masin yang dijual dengan harga yang lebih tinggi, maka pastilah seorang peniaga yang waras akan mengatakan jualan ikan masin kepada penduduk di Kampung B adalah satu tindakan yang rasional. Maka jika sekali fikir, kita dapati kegiatan pihak-pihak tertentu menyeludup minyak ke negara jiran untuk dijual dengan harga yang lebih tinggi adalah satu tindakan yang alami.
Oleh kerana perbezaan yang sangat ketara hingga lebih dua kali ganda, maka ada pihak yang sanggup mengambil risiko penyeludupan tersebut kerana potensi keuntungan yang amat tinggi. Sekiranya tiada perbezaan ketara antara harga pasaran minyak masak di antara Malaysia dan negara-negara jirannya, pastilah tiada insentif yang akan mendorong pihak-pihak tersebut untuk berhempas-pulas dan begitu kreatif dengan pelbagai kaedah penyeludupan barang berkenaan ke luar negara. Satu kesimpulan yang mudah, namun bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan oleh pemerintah negara ini.
Jika hendak dibiarkan harga minyak masak di pasaran tempatan meningkat selari dengan harganya di pasaran dunia, pastilah rakyat akan merasai kesusahannya dan boleh timbul rasa tidak puas hati dikemudian hari terhadap pemerintah. Ini kerana, sekiranya harga barangan tersebut dinilai mengikut harga pasaran dunia, barulah rakyat di negara ini akan dapat merasai betapa rendahnya kuasa beli yang ada di tangan mereka. Sudah pasti, tindakan menaikkan harga minyak agar setaraf dengan harga di negara-negara jiran adalah satu tindakan membunuh diri oleh pihak pemerintah kerana ianya pasti menjadi antara sebab hilangnya keyakinan rakyat kepada mereka, tambahan pula, dalam situasi negara yang sedang di ambang pilihanraya. Inilah dilema yang sedang melanda pihak pemerintah. Buangkan harga siling atau naikkan harga, rakyat marah. Kawal harga siling, penyeludupan pula berleluasa, rakyat merana dan akhirnya turut marah. Ditelan mati emak dan bapa, diluah pun akan mati emak dan bapa. Tinggallah pihak pemerintah terjerat dengan polisi ekonomi mereka sendiri yang berkiblatkan sistem ekonomi kapitalis.
Dalam merungkai permasalahan negara yang kita hadapi ini, kita perlu jelas akan punca mengapa ianya berlaku agar kaedah penyelesaiannya juga mampu untuk mencantas terus punca permasalahan tersebut dan tidak terjerat dengan sindrom-sindrom sampingan yang hanya tinggal sebagai tindakan-tindakan reaksi yang merugikan. Kita perlu menyedari bahawa sebab utama kita berada di dalam masalah ini adalah kerana penerapan sistem kapitalis dalam pengurusan sumber di dalam negara serta polisi yang diadopsi dalam hal-ehwal perdagangan baik di dalam mahupun di luar negara.
Mekanisma Harga – Kaedah Pengagihan Sistem Kapitalis
Melihat krisis kekurangan bekalan, hendak atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa ianya berputar di sekitar permasalahan untuk memastikan bahawa barang-barang yang diperlukan, tidak kira sama ada ianya berupa minyak masak, tepung, gula, minyak petrol mahupun garam masakan dapat sampai kepada pengguna dan ianya adalah satu cabaran asas dalam sistem ekonomi. Dalam pembahasan masalah ekonomi moden, salah satu dari perkara asas yang diperbincangkan adalah masalah keterhadan sumber dan cara untuk mengagihkannya. Maka menjadi satu tuntutan bagi manusia untuk mempunyai sistem yang teratur dalam menguruskan sumber-sumber yang terhad ini agar tidak berlaku kekurangan atau lambakan supaya keseimbangan penawaran dan permintaan dapat diperoleh. Dengan adanya keseimbangan tersebut maka secara teorinya pengguna boleh memperolehi sesuatu barang yang diingini dengan harga yang optimum. Sekiranya tidak, maka masalah ekonomi akan muncul di mana sekiranya permintaan melebihi penawaran, ini akan memangkinkan pasaran untuk menaikkan harga. Hal ini akan menyebabkan golongan yang berpendapatan rendah sukar untuk mendapatkan barangan tersebut kerana tidak lagi mampu untuk membiayai harga pasaran yang diminta oleh penjual. Hasil daripada situasi ini adalah penambahan lambakan barangan di dalam pasaran mengatasi kadar permintaan (yang telah berkurangan kerana sebahagian daripada kumpulan pengguna tidak lagi mampu untuk membeli barangan tersebut) sekaligus menekan pihak penawaran untuk menurunkan harga pasaran dek lambakan barangan yang tidak terjual. Keadaan ini akan menarik kembali permintaan sehinggalah bekalan kembali berada pada tahap berkurangan berbanding permintaan.
Begitulah secara ringkasnya bagaimana harga barangan akan naik dan turun di dalam pasaran bebas yang ideal pada pandangan ahli-ahli ekonomi. Pada pandangan ekonomi kapitalis, harga secara langsung menjadi alat untuk mengawal kadar pengeluaran dan juga penggunaan sesuatu sumber ekonomi yang terhad itu. Sekiranya harga rendah, maka lebih ramai akan mampu membeli barangan tersebut tetapi ianya tidak akan memberi galakan kepada peniaga untuk menawarkannya. Jika harga tinggi, maka peniaga akan mempunyai insentif yang lebih untuk membuat penawaran tetapi masalahnya tahap permintaan akan menurun kerana hanya sebahagian sahaja daripada masyarakat yang mampu untuk mendapatkan barang atau perkhidmatan yang ditawarkan. Persoalan pengagihan barangan yang terhad kepada orang-orang yang memerlukannya sudah tidak lagi diperkirakan kerana pada pendapat kapitalis, mekanisma harga telahpun secara automatik menjawab persoalan tersebut.
Itu adalah situasi yang akan berlaku di dalam keaadan pasaran ideal. Hakikatnya, pasaran ideal tidak wujud. Maka keberkesanan daripada mekanisma harga ini tidak akan dapat untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku di dalam pasaran. Mekanisma harga ini juga tidak membezakan sama ada barang atau perkhidmatan yang dipercaturkan itu adalah satu keperluan asas atau keperluan bukan asas. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah akan berlaku keadaan ekstrem dalam kitaran ombak permintaan dan penawaran hingga menyebabkan keseimbangan yang diharapkan tersebut tidak dapat dicapai malah membawa kepada keadaan yang lebih getir. Oleh kerana mekanisma harga tidak membezakan antara keperluan asas dan keperluan bukan asas, maka akan wujud keadaan di mana pengguna akan tetap membeli sesuatu barang biarpun barangan tersebut berharga tinggi kerana ianya adalah salah satu keperluan asas yang diperlukan untuk hidup. Hal ini jika tidak dibendung dengan teliti, ia akan menyebabkan berlakunya peningkatan jurang kekayaan antara yang miskin dan yang kaya. Yang miskin akan menjadi semakin terhimpit namun yang kaya akan menjadi semakin kaya kerana eksploitasi terhadap permintaan barangan keperluan asas ini.
Menyedari akan kepincangan kaedah pengurusan pengagihan berdasarkan mekanisma harga ini, maka pemikir ekonomi negara kapitalis terpaksa mencari pelbagai kaedah lain untuk menampal kecacatan yang ada. Salah satu kaedah yang digunakan adalah dengan mengamalkan penetapan harga barang kawalan, peruntukan subsidi untuk mengurangkan harga pasaran yang sepatutnya terpaksa ditanggung oleh rakyat dan sebagainya. Di sinilah kita lihat hipokrasi pengamal sistem kapitalis telah berlaku. Pada satu masa, mereka mencanangkan agar pasaran berlu bebas dari pengaruh yang mengganggu keseimbangan pasaran namun pada masa yang sama mereka turut melaksanakan tindakan-tindakan sampingan yang bercanggah dengan ideologi kebebasan yang mereka perjuangkan untuk menutup kekurangan yang wujud di dalam sistem tersebut.
Bagi seorang Muslim yang beriman dengan kebijaksanaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Tiada apa yang perlu diharapkan daripada sebuah sistem yang pada hakikatnya tidak sempurna. Namun yang mengaibkan kita, pemerintah-pemerintah umat Islam terus utuh mempertahankan bahawa sistem ciptaan akal manusia ini adalah yang lebih baik dari hukum-hakam yang telah diperintahkan olehNya. Apa yang menyedihkan kita adalah dalam mereka yang umpama tikus membaiki labu itu cuba mencari formula terbaik untuk menguruskan masyarakat, musibah-musibah yang berkaitan dengan kepincangan pengurusan ekonomi ini terpaksa ditanggung oleh masyarakat amya. Adakah ini realiti yang ingin kita hadapi saban hari?
Penetapan Harga Adalah Haram
Dalam mempersoalkan permasalahan ekonomi, Islam juga telah meletakkan keterhadan sumber di dunia sebagai permasalahan pokok yang perlu diuruskan dengan satu sistem yang teratur. Namun tidak seperti sistem kapitalisme, Islam memperincikan permasalahan sistem pengagihan sebagai asas penyelesaian dan bukannya mekanisma harga dan peningkatan pengeluaran sebagai jalan keluar. Islam juga meletakkan permasalahan harga sebagai sesuatu yang perlu ditentukan oleh mereka yang terlibat di dalam pasaran untuk menentukannya secara alami. Penetapan harga adalah sesuatu yang ditegah oleh Islam menerusi hukum-hakam yang berkait dengan urusan Muamalah. Dalam urusan jual beli barang keperluan asas mahupun keperluan bukan asas, Islam memberikan hak kepada pembeli dan penjual untuk menentukan harga yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan bukan satu harga yang dipaksakan ke atas mereka. Dari Abu Said, beliau berkata bahawa Rasulullah telah bersabda, “Penjualan (perdagangan) adalah atas persetujuan” [HR Ibn Majah]. Larangan penetapan harga secara terang berdasarkan hadith dari Imam Ahmad yang mengatakan dari Anas: “Harga telah meningkat pada waktu Rasulullah, lalu mereka berkata, Wahai Rasulullah, kami mengharapkan agar engkau tetapkan harga. Baginda menjawab, sesungguhnya Allah adalah Pencipta, yang mengekang, yang melimpahkan nikmat, yang memberi rezeki, dan yang menetapkan harga; dan aku memohon agar dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan tiada sesiapa yang menghitung (mengadu) tentang ketidakadilanku ke atasnya, baik berupa darah atau harta benda” [HR Ahmad]. Manakala dari Abu Hurairah, beliau berkata, “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu berkata, Wahai Rasulullah, tetapkan harga. Baginda menjawab: Hanya Allah yang merendahkan dan meninggikan” [HR Abu Daud].
Hadith-hadith yang disebutkan tadi telah menjelaskan keharaman aktiviti penetapan harga secara am dan tidak tertakluk kepada barang-barang makanan semata-mata. Hadith-hadith ini bersifat umum, oleh itu, aktiviti penetapan harga seperti yang dilakukan oleh pemerintah pada ketika ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan fiqih ekonomi Islam.
Penyorokan Barang Dagangan Adalah Haram
Adapun pada masa yang sama, tindakan individu-individu tertentu yang cuba menyorokkan barangan seperti gula atau minyak masak juga diklasifikasikan sebagai aktiviti yang ditegah oleh Islam dalam kategori memonopoli. Dari Said bin Al-Musayyab meriwayatkan dari Mu’ammar bin Abdullah Al-‘Adawi bahawa Rasulullah telah bersabda: “Tiada yang memonopoli (menguasai) melainkan mereka yang melakukan kesalahan” [HR Al-Bukhari]. Al-Athram pula telah meriwayatkan dari Abu Umamah bahawa beliau mengatakan, “Rasulullah melarang barang makanan dimonopoli.” Mereka yang ‘memonopoli’ yang dimaksudkan di dalam hadith-hadith tadi adalah mereka yang mengumpulkan (menyorokkan) barang dagangan sehinggalah harga pasaran meningkat sebelum dijual di pasaran lalu menyusahkan pengguna untuk mendapatkan barangan tersebut. Penggunaan perkataan pemonopoli (Muhtakir) di dalam hadith ini merujuk kepada mereka yang menyorokkan (menghimbunkan) sesuatu komoditi sehingga harganya meningkat di pasaran. Ini kerana perkataan memonopoli (Ihtikar) secara bahasanya bermaksud menghimpunkan sesuatu dan menahannya sehingga menjadikan harga barang tersebut mahal lalu menjualkannya dengan harga yang tinggi. Ianya juga bermaksud Istabadda, iaitu menyorok (menghimbun) supaya dapat dijual dengan harga yang mahal.
Syarat-syarat untuk mengklasifikasikan sesuatu itu adalah monopoli atau menyorokkan barang adalah apabila sampai ke satu tahap di mana menjadi sukar untuk masyarakat mendapatkan bekalan kerana tiada ditawarkan di dalam pasaran (tetapi ada dalam bekalan). Aktiviti yang terkait dengan hukum ini bukan sahaja melibatkan golongan peniaga sahaja tetapi melibatkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan sehingga memaksa harga pasaran naik kerana kekurangannya. Maka, seorang penanam padi yang menjadi satu-satunya pengeluar padi di sesebuah kawasan juga dikatakan melakukan kegiatan haram ini sekiranya dia cuba menyorokkan hasil tanamannya hingga harga beras di kawasannya meningkat akibat dari kekurangan beras di kedai-kedai tempatan. Begitu juga pengilang-pengilang minyak masak atau gula yang sengaja menghadkan tahap pengeluaran biarpun mempunyai cukup bahan mentah untuk memenuhi sepenuhnya permintaan pasaran.
Dua hukum yang diberikan di atas adalah antara hukum-hakam di dalam Sistem Ekonomi Islam yang diatur oleh Yang Maha Mencipta untuk memastikan tidak berlaku manipulasi terhadap pasaran agar barang-barang keperluan manusia dapat diperoleh tanpa kekangan yang menyusahkan masyarakat. Namun begitu, dengan hanya menerapkan dua hukum yang dinyatakan di atas mungkin tidak akan dapat menyelesaikan seluruh permasalahan ekonomi manusia. Apa yang diperlukan adalah perlaksanaan SELURUH sistem Islam (ekonomi, politik, sosial dll). Hanya dengan inilah, SELURUH masalah manusia akan pasti dapat diselesaikan dengan tuntas dan manusia akan pasti berada di dalam kesejahteraan!
Penyelesaian Menyeluruh Islam
Dari konteks yang lebih besar, Islam mewajibkan Khalifah (Daulah) untuk menyediakan keperluan asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal) secara percuma kepada setiap individu rakyat. Selain dari itu, Daulah juga harus memastikan bekalan keperluan makanan yang diperlukan tetap ada dan beredar dengan adil di dalam negara, tidak kira bagi orang-orang Muslim mahupun kafir dzimmi. Permasalahan kekurangan minyak masak di Malaysia ini contohnya bukanlah disebabkan tiadanya bekalan tetapi adalah kerana kegagalan pemerintah dalam menguruskan sumber tersebut dengan berkesan berdasarkan hukum Islam. Realitinya, penduduk dunia semakin bertambah setiap hari, begitu juga peningkatan bidang sains ekonomi yang membolehkan pengeluaran sesuatu barangan dapat ditingkatkan untuk memenuhi permintaan pasaran. Di dalam penerapan sistem Islam sepenuhnya di bawah seorang Khalifah, peningkatan kadar permintaan dari luar negara seperti dari China dan sebagainya tidak seharusnya menjadi alasan mengapa bekalan di dalam Daulah perlu habis. Ini adalah kerana Islam telah meletakkan tanggungjawab pemerintah untuk memastikan permintaan dalam negeri dapat dipenuhi dan tidak meruncing. Adalah menjadi kewajipan pemerintah untuk mengetahui tahap bekalan yang ada di dalam Daulah dan membuat perancangan rapi dalam penyediaan segenap keperluan penduduk seterusnya membolehkan adanya lebihan agar aktiviti perdagangan luar negara dapat dilaksanakan.
Sekiranya tahap bekalan sesuatu barang keperluan di dalam Daulah menjadi berkurangan akibat permasalahan yang tidak dapat dibendung seperti kerana bencana, kemarau dan sebagainya, maka sewajibnya pemerintah (Khalifah) mengerahkan dana milik Daulah dibelanjakan untuk menjana aktiviti industi agar bekalan dapat ditambah atau dibeli dan dihantar kepada tempat-tempat yang memerlukan. Pastinya, perkara ini hanya dapat dilaksanakan sekiranya Islam diterapkan sepenuhnya di bawah naungan Daulah Khilafah dan Khalifah mempunyai akses kepada dana dan kuasa perlaksanaan sesuai seperti yang ditetapkan syara’.
Pada masa yang sama, Islam juga menuntut ketaqwaan daripada segenap umat Islam di dalam Daulah untuk mematuhi setiap undang-undang dan hukum-hakam Islam agar sistem yang dilaksanakan tidak diganggu dengan pengkhianatan dari rakyatnya sendiri. Pengkhianatan seperti aktiviti penyeludupan sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan bekalan dalam Daulah samalah statusnya dengan aktiviti-aktiviti yang menggamit kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan layak untuk dihukum. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti menyorok bekalan yang perlu dibenteras oleh Khilafah (sebagai institusi yang menjaga kesejahteraan umat) dan dihindari oleh setiap individu di dalam Daulah (sebagai kewajipan memenuhi perintah dan larangan Al-Hakim).
Namun, semua keindahan sistem ciptaan Allah Azza wa Jalla ini tidak akan dapat dinikmati seandainya kita masih lagi sayang terhadap sistem kufur yang berpaksikan kepada akal manusia semata-mata. Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu muslim agar melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam konteks mempersoalkan pemerintah mengapa tidak diterapkan sistem Allah di dunia umat Islam. Adalah satu kewajipan bagi umat zaman ini membuang sistem-sistem ciptaan barat yang selama ini mencengkam dan menjahanamkan kehidupan umat dan menerapkan kembali Ad Deen yang direstui olehNya dalam kehidupan manusia kerana tuntutan ini bukanlah satu pilihan yang boleh diambil oleh kita, tetapi ianya adalah kefardhuan yang menuntut untuk dijalankan. Bergeraklah bersama-sama mereka yang ikhlas menegakkan syariat Allah, dan janganlah kamu berkompromi walau seinci pun dengan sesuatu yang bukan dari Yang Maha Pencipta!
Hadis Sahih
DILEMA KRISIS BEKALAN BARANG KEPERLUAN
Labels: Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment