Hadis Sahih

Rakyat Malaysia kecam tindakan pengganas Israel

Oleh:Malaysia Today

KUALA LUMPUR: 7 Julai - Lebih 2,500 umat Islam telah berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kejam tentera Israel yang menyerang selatan Gaza dalam usaha mereka memerangi kerajaan Hamas yang dipilih oleh rakyat Palestin.

Memorandum bantahan yang diserahkan telah ditandatangani oleh 16 parti politik dan badan bukan kerajaan.

Gabungan parti politik dan badan bukan kerajaan tersebut mengecam serangan ke atas penduduk Gaza dan penindasan berterusan oleh rejim Israel serta penculikan para menteri, ahli-ahli Parlimen dan pengamal undang-undang Palestin, pembunuhan orang awam, wanita dan kanak-kanak.

Dalam serangan-serangan oleh Israel, tentera terus menggunakan taktik pengganas dengan pesawat-pesawat perangnya terbang rendah di atas bumbung-bumbung dan melepaskan bom sonik menyebabkan bayi-bayi menangis tanpa dapat dikawal, memecahkan tingkap-tingkap dan mengakibatkan penduduk rasa tertekan – seperti yang dijanjikan oleh perdana menteri rejim, Olmert bahawa pihak Israel akan “membuat tidak seorang pun akan merasa selesa” di Gaza.

Tindakan Israel bukan sebenarnya untuk menyelamatkan askar yang telah ditahan oleh pihak Palestin seperti yang didakwa tetapi lebih kepada menggulingkan kerajaan Hamas yang telah dipilih oleh penduduk Palestin.

Perkara tersebut berlaku, setelah Israel mengetahui rundingan perdamaian antara Fatah dan Hamas telah melalui fasa positif. Isu “usaha menyelamatkan seorang askar” hanya digunakan sebagai alasan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Hamas.

Sokongan dan bantuan Amerika Syarikt dalam tindakan kejam Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin telah menghina amalan demokrasi.

Persoalan hak asasi manusia sudah tidak diendahkan lagi dan amalan “double standard” Amerika terhadap Asia Barat begitu jelas. Kerajaan Amerika dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas semua pembunuhan orang awam oleh Israel.

Gabungan parti politik dan NGO tersebut telah mendesak agar tahanan Palestin terutama wanita dan kanak-kanak dibebaskan, dan pengunduran total daripada kawasan yang diduduki dan mengembalikannya seperti sebelum tahun 1967.

Terik matahari tidak menghalang kira-kira 2,500 orang berarak ke Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat, bagi menyatakan bantahan kepada keganasan rejim Zionis Israel. Pemimpin parti politik dan NGO yang menganjurkan perhimpunan ini, menyerahkan nota bantahan kepada wakil diplomatik Kedutaan Amerika.

Meskipun dalam cuaca panas terik dan dengan kehadiran pasukan polis yang siap sedia dengan 'water cannon' serta kira-kira 70 anggotanya, peserta perhimpunan tetap meneruskan langkah menuju ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia dan kemudiannya ke Kedutaan Amerika Syarikat.
Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Dr Hasan Ali bersama Dr Mahfodz Mohammad, Presiden Abim, Yusri Mohammad dan Dr Zulkifli Ahmad kepada wakil kedutaan yang menunggu di luar pintu pagar kedutaan.

Dalam perkembangan lain, Angkatan Muda Keadilan menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB menghantar pasukan pakar antarabangsa ke Israel dan kawasan-kawasan yang diduduki, bagi menjalankan siasatan menyeluruh akan situasi hak asasi manusia yang semakin meruncing di Gaza.

Memorandum telah ditandatangani oleh:

Parti Islam Se Malaysia
Parti Keadilan Rakyat
Angkatan Belia Islam Malaysia
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
Persatuan Ulama’ Malaysia
Persatuan Pengguna Islam Malaysia
Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)
Malaysian Youth and Democratic Movement (DEMA)
YPU
Muafakat
Kelantan People Action Council (Majlis Tindakan Rakyat Kelantan)
Al Nida’
Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung
Solidariti Mahasiswa Malaysia
University Malaya Association of New Youth (UMANY)

0 comments: