Hadis Sahih

Sharon - Raja Pengganas Israel

(Sharon, Master Terrorist)

oleh: Edna Yaghi

Setiap kali orang Palestine disembelih, kita tidak pun mendengar suara Presiden AS George Bush, bercakap mengutuk amalan ganas perdana menteri Israel Ariel Sharon.

Hari ini, beberapa orang Palestine telah dibunuh, termasuk Riham seorang anak gadis yang baru berusia 10 tahun. Riham mati ketika askar Israel menembak sebuah sekolah di daerah Al-Amaniya di Jenin. Tujuh lagi anak gadis turut tercedera dengan teruknya dalam pengeboman itu. Riham dan kawan sekolahnya bukannya anggota pasukan tentera. Mereka tidak memegang sebarang senjata. Mereka cuma anak-anak yang pergi sekolah. Setiap kanak-kanak berhak belajar di sekolah dan bukannya dijadikan sasaran untuk berperang.

Pada sebelah petang tadi, 3 orang Palestine daripada Fateh, telah mati terbunuh ketika mereka dalam perjalanan menziarahi seorang kawan. Kereta yang mereka pandu telah meletup hasil sasaran pembunuhan Israel.

Sharon, Raja Pengganas Israel, tidak menghormati nyawa rakyat Palestine; sama ada bayi, kanak-kanak ataupun orang dewasa. Kebangkitan Intifada Al-Aqsa telah memberi peluang kepada Sharon satu alasan untuk mengepung bandar Palestine, kampung dan kawasan ladang.

Selama satu tahun lamanya, kelengkapan perang Israel, pesawat pejuang F-16, helikopter Apache, kereta-kebal, ‘jeep’ yang lengkap bersenjata dan jentolak telah digunakan untuk memerangi satu kumpulan manusia Palestine yang tidak bermaya. Lebih 700 rakyat Palestine telah terkorban dan 20,000 lagi yang tercedera (selama satu tahun ini – penterjemah). Oleh kerana ramai yang tercedera adalah kanak-kanak, mereka terpaksa meneruskan hidup dengan segala parut dan kesan luka dan kecacatan anggota disebabkan sikap Sharon yang memerangi mereka.

Kawasan perumahan telah diratakan, perladangan telah dimusnahkan, pokok zaitun dan bebuahan telah dicabut, bekalan air dipotong ataupun diracuni, bekalan eletrik dipotong, perniagaan disabotaj, sekolah dibom, anak-anak sekolah dibunuh dan dicederakan, kawasan awam dibom, dan belia diculik untuk dizalimi dan dipenjarakan. Memang tidak ada sebab kenapa kumpulan manusia yang berani ini mesti layan dengan ganas sekali. Tidak ada sesiapa di dunia luar yang berani bersuara lantang mengutuk amalan ganas dan perbuatan gila si algojo ini yang memang taksub mahu menghapuskan rakyat Palestine dari muka bumi ini.

Dunia semakin membisu terhadap keganasan yang dilakukan terhadap orang Palestine yang kini terpaksa hidup merempat di kem pelarian yang mudah dikepung oleh Israel. Setiap tindakan harian Israel ditumpukan kepada cara menghina, membunuh, melumpuhkan atau menyeksa rakyat Palestine kerana inilah orang Palestine yang masih bertahan di tanah tumpah darah mereka sedangkan Israel mahukan tanah itu. Selama 52 tahun, orang Palestine telah menjadi mangsa kepada serangan ganas Israel, usaha penaklukan mereka dan juga segala tipu daya.

Masyarakat Palestine tidak mempunyai pesawat terbang, kapal perang, kereta kebal ataupun helikopter yang boleh mereka gunakan. Mereka tidak pernah diberikan bantuan sebanyak $5 billion dollar oleh kerajaan Amerika seperti yang dinikmati oleh Israel, dan mereka juga tidak dilengkapkan dengan senjata tercanggih oleh Amerika. Kalau ada pun senjata yang dimiliki oleh masyarakat Palestine untuk menentang keganasan Israel ialah ketulan batu yang digunakan atas nama mempertahankan hak kebebasan mereka.

Rakyat Palestine di kelilingi oleh musuh yang mahu menghalau mereka keluar daripada bumi Palestine atau menghapuskan mereka samasekali dari bumi ini. Disebabkan mereka telah terlalu terdesak dan kecewa orang Palestine telah menembak menteri kabinet Israel Rahavam Zeve sebagai membalas dendam kerana kematian Setiausaha Agong Fateh, Abu Ali Mustafa, dan pembunuhan ini telah dikutuk oleh Amerika.Teetap9i apabila Abu Mustafa Ali dibunuh dengan kejamnya, tidak pula ada suara yang mengutuk kerja jijik yang kerap diamalkan terhadap rakyat Palestine. Bagaimana pula dengan nyawa Riham anak kecil yang bersekolah dulu? Apakah dosanya? Kenapakah dia ditembak mata?

Adalah amat sukar untuk satu masyarakat yang kerap dihina, diaibkan dan diseksa dan dilayan dengan buruknya tidak bertindak balas. Namun, inilah yang amat diingini oleh Sharon. Dia mahu menghenyak orang Palestine di satu penjuru, mendesak mereka melawan balik supaya dia mempunyai alasan untuk membunuh lebih ramai bayi, kanak-kanak sekolah dan orang awam yang tidak berdosa.

“Kita akan teruskan peperangan sehingga akhir terhadap pengganas, mereka yang membantu dan yang menaja mereka.” Demikian jerit Sharon ketika dia menuduh pentadbiran Palestine sebagai melindungi “pembunuh”.

Tetapi, Sharon ialah Raja Pengganas. Dia seharusnya melancarkan peperangan memusuhi dirinya. Dialah musuh besar Israel kerana tangannya yang bertanggungjawab membunuh 20,000 orang Lebanon dan Palestine ketika menjadi pemerintah askar Israel memerangi Lebanon pada 1982.

Tetapi dia mesti sedar, selagi dia mengugut nyawa Palestine dan selagi dia inginkan darah orang Palestine, satu hari nanti dia sendiri akan kecundang juga.

Selagi puak Imperialis dan Zionis menyokong dasar keganasan negara Israel yang suka berperang itu, tidak akan ada kedamaiannya. Orang Palestine berhak kepada negaranya sendiri untuk hidup dengan penuh kebebasan untuk mengejar kebahagiaan. Tibalah masanya untuk dihentikan sikap pembasmian kaum ini. Tibalah masanya dunia sejagat menangani keganasan di tempat ia benar-benar wujud.

Tamat. SPAR.

0 comments: