Hadis Sahih

Segera hentikan sekatan

KETIKA ini Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) sedang mengadakan sidang tergempar berhubung krisis kemanusiaan berpunca daripada sekatan Israel ke atas Genting Gaza di Palestin.

Sidang tergempar itu berlangsung atas permintaan negara-negara Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mahu badan dunia itu menyatakan pendirian berhubung satu lagi tindakan di luar batas kemanusiaan oleh Israel.

Sememangnya dunia yang sebelum ini tertumpu kepada proses pemilihan calon yang bakal bertanding untuk pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) kini menyaksikan pula kekejaman Israel ke atas Gaza begitu memuncak.

Seluruh Gaza bergelap selepas loji jana kuasa tunggal yang beroperasi terpaksa ditutup berikutan kehabisan bahan bakar berikutan sekatan Israel yang mahu membendung serangan roket para pejuang Palestin.

Penutupan loji yang membekalkan 30 peratus keperluan elektrik penduduk di wilayah ini menyebabkan seluruh bandar Gaza bergelap dan memburukkan lagi keadaan masalah yang sedia teruk di wilayah pesisir ini.

Bekalan elektrik ditutup secara rasmi pada pukul 8 malam tadi (2 pagi Isnin waktu Malaysia) dan tindakan itu akan menyebabkan krisis kemanusiaan yang mengancam nyawa penduduk.

Kesan segeranya lima pesakit telah meninggal dunia di hospital berikutan tindakan AS itu. Dunia Islam khususnya negara Arab harus mengambil tindakan membantu warga Palestin di Gaza dan meminggirkan segala perselisihan yang berlaku.

Negara pendukung Israel, AS dan Kesatuan Eropah wajib memberikan perhatian kepada apa berlaku di Gaza sekarang yang dilanda krisis kemanusiaan buruk.

Segala-galanya bermula apabila Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak mengarahkan Genting Gaza ditutup selepas serangan udara rejim Israel yang bertujuan menyekat serangan roket pejuang Islam ke negara itu, menyebabkan tujuh rakyat Palestin terbunuh.

Ternyata penutupan Genting Gaza biarpun baru beberapa hari telah menyebabkan penduduk Palestin terputus keperluan asas termasuk bekalan gas untuk memasak.

Dek kerana marahkan Hamas, rejim pengganas Israel secara kolektif telah menghukum 1.5 juta orang awam Palestin yang akan membawa kepada kemusnahan dan kematian terutamanya ke atas bayi, kanak-kanak, orang tua, pesakit buah pinggang dan jantung di hospital serta semua penduduk yang bergantung hidup kepada tenaga elektrik.

Tindakan Israel juga akan menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan kepada penduduk Gaza kerana ia juga menggunakan tenaga elektrik yang akan membawa kepada ramai lagi kematian.

Tanpa tenaga dan bekalan air banyak pekerjaan akan terhenti dan ini akan melumpuhkan seluruh perjalanan hidup penduduk Palestin. Ini masih belum memikirkan lagi dengan pendidikan mereka yang akan terencat, kilang akan terjejas, akhirnya akan mengancam seluruh kehidupan penduduk Palestin.

Apakah dunia akan terus memerhatikan apa yang sedang berlaku di Palestin sekarang.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan dengan tindakan jenayah Israel melalui pemotongan bekalan tenaga di Gaza sekarang dapatlah dikategorikan sebagai tindakan-tindakan awal ke arah genosid.

Menurut Artikel II Perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, istilah ini ditafsirkan sebagai:

“Sebarang tindakan yang dilakukan dengan niat memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan-kumpulan nasional, etnik, ras atau agama seperti:

* Membunuh ahli-ahli kumpulan;

* Menyebabkan kemudaratan serius ke atas tubuh atau mental kepada mana-mana ahli kumpulan;

* Secara sengaja mengenakannya ke atas keadaan kehidupan kumpulan yang membawa kemusnahan fizikal secara keseluruhan atau sebahagian.

Jelas sekali kepungan kejam Israel ke atas Gaza ini bertujuan untuk membunuh, membawa kepada kemudaratan tubuh dan mental dan secara sengaja menjejaskan kehidupan masyarakat yang boleh membawa kepada kemusnahan sebahagian atau keseluruhannya.

Tindakan ini melayakkan untuk dikategorikan sebagai tindakan awal genosid, jika ia masih belum sepenuhnya berunsur genosid.

Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan sebelum genosid secara senyap ini berlaku.

Di manakah Setiausaha Agung PBB sekarang? Mengapakah Ban Ki-moon menyepi? Adakah harus menunggu ribuan orang meninggal baru hendak membuat kenyataan menyelamatkan diri.

Atau beliau harus menunggu isyarat daripada AS barulah hendak bertindak? Ternyata beliau tidak berkarisma hendak memimpin sebuah badan dunia seperti PBB.

Manakah perginya dunia Arab yang lebih dekat dengan Palestin? Mana pergi Mesir yang ke depan dalam menyelesaikan masalah umat Islam Palestin itu? Kenapa menyepi sekarang membiarkan mereka mati secara senyap oleh tindakan rejim Ehud Olmert?

Wilayah Gaza yang mempunyai 1.5 juta penduduk yang bergantung kepada bantuan luar masih terputus dari dunia luar selepas semua pintu masuk ditutup sejak Jumaat lalu berikutan arahan Kabinet Israel yang mahu mengekang serangan pejuang.

Sementara pergerakan Hamas yang menguasai Gaza sejak Jun lalu menyatakan, langkah rejim Tel Aviv merupakan “hukuman mati” ke atas wilayah ini dan menggesa campur tangan antarabangsa.

Gesaan Hamas tersebut turut mendapat sokongan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang mahukan Israel menamatkan kepungan dengan segera.

Jika dunia mengutuk tindakan tentera Jerman dan pemimpinnya Hitler melakukan ‘holocaust’ maka sekarang bentuk ‘holocaust’ sedang berlaku di depan mata kita.

0 comments: