Sunday, 09 March 2008
KL: Selepas menerajui kerajaan Kelantan selama 18 tahun, PAS akan mempunyai dua lagi Menteri Besar manakala DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing satu selepas pakatan pembangkang mencapai kejayaan mengejut menang di lima negeri pada pilihan raya umum.
Barisan Nasional (BN) kalah di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dan PAS mengekalkan Kelantan dalam pilihan raya umum semalam ketika BN kembali berkuasa tanpa majoriti dua pertiga.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, 77, sudah hampir pasti terus menerajui kerajaan Kelantan manakala Pesuruhjaya PAS Kedah Azizan Abdul Razak, 64, telah menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Sultan Kedah hari ini.
Di Kedah, PAS tanpa disangka-sangka menang 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PKR empat manakala DAP dan calon Bebas masing-masing satu. BN hanya memenangi 14 kerusi.
Di Perak pula, PAS, DAP dan PKR memulakan langkah awal penubuhan kerajaan campuran dengan mencalonkan Setiausaha Perhubungan PAS Perak Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang menang kerusi DUN Pasir Panjang sebagai Menteri Besar walaupun DAP memperoleh kerusi terbanyak dalam pakatan itu. DAP memenangi 18 kerusi DUN di Perak manakala PAS enam dan PKR tujuh.
Di Pulau Pinang, bakal Ketua Menteri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan mencapai sesuatu yang ayahnya, Lim Kit Siang hanya dapat impikan dan perjuangkan tetapi gagal dilaksanakan menerusi beberapa projek "Tanjong" untuk menawan negeri pulau itu.
Guan Eng menerajui parti itu mencapai kejayaan cemerlang di Pulau Pinang, menang 19 kerusi negeri, bersama PKR (sembilan) dan PAS (satu), yang jelas sekali cukup untuk menumbangkan BN.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Khalid Ibrahim disebut-sebut sebagai calon utama dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas pakatan pembangkang menang 36 daripada 56 kerusi negeri.
Setiausaha Agung PKR itu menang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan kerusi DUN Ijok, yang beliau tewas pada pilihan raya kecil tahun lepas.
PKR akan mengadakan sidang akhbar hari ini bagi mengumumkan pembentukan kerajaan negeri dan Menteri Besar baru.
Hadis Sahih
5 negeri: Tiga MB dari PAS, satu DAP dan PKR
Labels: Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment