ITULAH antara kesimpulan yang boleh kita buat berasaskan matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 31 Mac.
Walaupun banyak rancangan dan peruntukan ditujukan kepada usaha membasmi kemiskinan dan menyempitkan jurang pendapatan antara kaum, namun Bumiputera akan kekal di tempat ketiga.
Misalnya, RMK-9 meramalkan penyempitan jurang pendapatan antara Bumiputera dengan kaum Cina dan India antara tahun ini dan tahun 2010, namun Bumiputera akan kekal pada anak tangga paling bawah.
Jurang pendapatan antara Bumiputera dan Cina diramalkan menjadi bertambah sempit daripada nisbah 1:1.64 pada tahun 2004 kepada 1:1.50 pada tahun 2010.
Dalam bahasa yang mudah, pada nisbah tahun 2004, bagi setiap RM1 yang diperoleh oleh seorang Bumiputera, seorang Cina memperoleh RM1.64.
Kalau pendapatan Bumiputera naik kepada RM2, pada nisbah tahun 2004, pendapatan Cina akan naik kepada RM3.28.
Tetapi pada nisbah 1:1.50 pada tahun 2010, jika pendapatan Bumiputera bertambah RM2, pendapatan Cina bertambah RM3.
Kalau diterbalikkan andaian ini, jika pendapatan orang Cina meningkat kepada RM4.50, pendapatan Bumiputera dijangka meningkat kepada RM3.
Jurang pendapatan antara Bumiputera dan India pula diramalkan mengempis daripada nisbah 1:1.27 pada tahun 2004 kepada 1:1.15 pada tahun 2010 sementara antara luar bandar dan bandar daripada 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1:2 pada tahun 2010.
Ringkasnya, walaupun pendapatan Bumiputera dijangka meningkat dengan lebih pesat dalam tempoh RMK-9, namun mereka kekal mengekori kaum Cina dan India. Begitu juga pendapatan luar bandar, di mana majoriti Bumiputera tinggal, akan terus mengekori pendapatan bandar.
Pencapaian 30% Ekuiti Bumiputera Ditangguhkan Lagi
DEMIKIAN juga keputusan mengekalkan matlamat pemilikan modal Bumiputera pada kadar 30 peratus dan menangguhkan tempoh pencapaiannya hingga tahun 2020. Kewajaran keputusan ini pasti menjadi tanda tanya.
Pertama, matlamat ini sepatutnya dicapai pada penghujung Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1990. Tetapi gagal. Hari ini, 15 tahun selepas DEB tamat, ekuiti Bumiputera, termasuk yang dipegang oleh agensi amanah (trust agencies), hanya 18 peratus.
Kini Perdana Menteri Abdullah menangguhkan sekali lagi tempoh pencapaiannya sehingga tahun 2020 (menurut laporan New Straits Times, 1 April).
Setelah Kerajaan gagal mencapai matlamat itu 15 tahun selepas tamat DEB, apakah jaminan ia akan dapat memenuhinya dalam masa 15 tahun dari sekarang.
Lagipun, mengapa kekal 30 peratus? Siapa yang akan memiliki baki 70 peratus itu? Apakah ini wajar?
Pada kadar kelahiran sekarang, nisbah penduduk Bumiputera berbanding kaum-kaum lain pada tahun 2020 mungkin lebih tinggi. Jadi, wajarkah pemilikan ekuiti mereka kekal 30 peratus?
Dasar mengutamakan GLC tidak salah. Tetapi sejauh mana ia membantu mempertingkatkan modal Bumiputera terus menjadi tanda tanya.
Ini adalah kerana saham yang dimiliki oleh GLC bukan saham Bumiputera. Ia saham semua rakyat Malaysia.
Ekuiti Bumiputera hanya boleh ditingkatkan jika pelaburan agensi amanah seperti PNB dipesatkan dan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera dibina semula
0 comments:
Post a Comment